Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka akan mengumumkan berita gembira untuk rakyat sempena pelancaran Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan dan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) yang akan disempurnakan beliau malam esok.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang memberikan gambaran itu berkata, beliau yakin pengumuman yang akan dibuat oleh Perdana Menteri itu akan menggembirakan rakyat.
"Saya boleh memberi gambaran, rakyat akan gembira dengan pengumuman itu dan sejenis lonjakan am akan berlaku.
"Butirannya perdana menteri telahpun bersedia untuk buat pengumuman dan kita sama-sama tunggu," katanya ketika diminta memberikan gambaran mengenai majlis pelancaran itu yang akan berlangsung di Dataran Merdeka malam esok.
Rais yang ditemui pemberita selepas meninjau persiapan akhir bagi majlis pelancaran itu juga menyifatkan majlis pelancaran itu sebagai satu peristiwa bersejarah bagi negara.
Katanya hasil kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Malaysia berupaya merangkul keupayaan untuk melancarkan perjuangan telekomunikasi bertahap tinggi.
"Selepas pengumuman dan pelancaran ini kita jangka kedua-dua pihak ini akan bekerja keras untuk memastikan kualiti, kos dan perkhidmatan jalur lebar ini, yang akan merubah cara hidup kita di Malaysia dapat diperbaiki," katanya.
Katanya jalur lebar sudah menjadi salah satu kemestian atau kewajipan hidup dan mesti diisi seperti mana pentingnya pembinaan jalan raya, elektrik dan air untuk masyarakat.
"Dengan wujudnya kemudahan telekomunikasi ICT khususnya jalur lebar kelajuan tinggi ini cara hidup akan berubah, dunia akan lebih kecil dan kita boleh berkomunikasi dengan lebih pantas dan efisien.
Di samping itu, pelancaran jalur lebar berkelajuan tinggi itu juga penting untuk menyokong perjuangan Gagasan 1Malaysia selain membantu merancakkan sektor ekonomi negara terutamanya di bawah Model Ekonomi Baru yang bakal diumumkan Perdana Menteri kelak, katanya.
Rais berkata kerajaan bagaimanapun sedia maklum mengenai beberapa rungutan masyarakat berhubung perkhidmatan jalur lebar termasuk kos, kelajuan dan kualiti perkhidmatan itu yang masih tidak setanding dengan negara-negara asing.
Bagaimanapun dari konteks penggunaan Wimax, Malaysia merupakan negara ketiga di dunia yang mencapai tahap penggunaan dan perkhidmatan Wimax yang paling cepat dan menyeluruh, katanya.
Beliau berkata setakat ini Malaysia sudah mempunyai kira-kira 17 juta pengguna internet, iaitu satu indeks yang sangat membanggakan.
TM setakat ini mempunyai kapasiti membekalkan kemudahan talian jalur lebar kepada kira-kira 311,000 premis di pelbagai lokasi.
Sumber :BERNAMA, 24 MAC 2010
0 comments:
Post a Comment