KELUARAN DALAM NEGERI KASAR
Pada suku tahun pertama 2010, ekonomi Malaysia berkembang pesat dengan merekodkan pertumbuhan dua digit 10.1 peratus berbanding suku yang sama tahun lalu. Ini merupakan pengembangan terbesar dalam dekad ini setelah pencapaian dua digit pada suku pertama 2000 (11.7 peratus). Lonjakan ekonomi kali ini dipacu oleh prestasi memberangsangkan di dalam Sektor Pembuatan dan Perkhidmatan. Dari segi Perbelanjaan, pertumbuhan diterajui oleh Penggunaan Akhir Swasta dan Pembentukan Modal Tetap Kasar serta peningkatan Eksport.
Sumber : Jabatan Perangkaan Malaysia
RANCANGAN MALAYSIA KE-10
Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) mengandungi aspirasi Program Transformasi Kerajaan dan Model Baru Ekonomi yang berteraskan pendapatan tinggi, keterangkuman dan kemampanan. Rancangan ini merencanakan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang dengan matlamat untuk menyampaikan hasil yang dihasratkan untuk semua rakyat. Rancangan ini menyediakan pentas bagi transformasi struktur utama yang diperlukan oleh ekonomi berpendapatan tinggi serta hala tuju dasar, strategi dan program baharu yang membolehkan negara tampil sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi.
Strategi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10), 2011-2015 dirangka bagi mencarta perjalanan pembangunan negara ke arah mencapai Wawasan 2020. Tema dan pendekatan baru RMKe-10 dirumuskan dalam bentuk 10 idea utama, seperti berikut:-
1. Ekonomi dipacu oleh faktor dalamnegeri di samping mengambil kira persekitaran luar negara.
2. Memanfaatkan kepelbagaian etnik untuk mencapai kejayaan di arena antarabangsa.
3. Transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi menerusi pengkhususan.
4. Menjayakan pertumbuhan yang diterajui oleh produktiviti dan inovasi.
5. Memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan cemerlang.
6. Memastikan peluang sama rata dan melindungi golongan yang mudah terjejas.
7. Pertumbuhan bertumpu, pembangunan inklusif.
8. Menyokong perkongsian yang pintar dan berkesan.
9. Menghargai khazanah alam sekitar.
10. Kerajaan umpama syarikat yang berdaya saing.
Sumber : Unit Perancang Ekonomi
MODEL EKONOMI BARU
Model Ekonomi Baru (MEB) yang hendak dicapai melalui Program Transformasi Ekonomi (PTE) merupakan satu tonggak utama yang akan melonjakkan Malaysia ke arah status negara maju sejajar dengan matlamat Wawasan 2020. PTE akan dipandu oleh lapan Inisiatif Pembaharuan
Strategik (IPS) yang akan menjadi asas bagi
langkah dasar yang relevan.
8 Inisiatif Pembaharuan Strategik dalam MEB adalah:-
1. Menyuburkan kembali sektor swasta
2. Membangun tenaga kerja berkualiti dan mengurangkan kebergantungan pada pekerja asing
3. Mewujudkan ekonomi domestik yang berdaya saing
4. Mengukuhkan sektor awam
5. Melaksanakan tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran
6. Membina infrastruktur berasaskan pengetahuan
7. Meningkatkan sumber pertumbuhan
8. Memastikan kebolehmampanan pertumbuhan
0 comments:
Post a Comment